Operasi mencari MH370 diteruskan malam ini



SEPANG: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) belum mendapat apa-apa pengesahan daripada pihak Vietnam mengenai dakwaan penemuan tumpahan minyak di perairan negara itu malam tadi.

Ketua Pengarahnya Datuk Azharudin Abdul Rahman berkata, setakat 9.30 malam ini, pihaknya belum menerima apa-apa maklumat dan petunjuk baru mengenai penemuan pesawat MH370 itu.
Beliau berkata, pihaknya ada menghubungi pihak Vietnam untuk mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan itu namun, sehingga kini belum ada reaksi dan maklum balas.

"Maklumat terbaru yang kami terima, pesawat berkenaan hilang dari radar udara di antara sempadan perairan Malaysia dan Vietnam.


"Carian awal di kawasan itu bermula pagi tadi gagal menemui apa-apa petunjuk dan sebarang bangkai pesawat sebelum skop carian diperluas ke seluruh perairan Malaysia dan sempadan perairan Vietnam-Malaysia," katanya pada sidang media sebentar tadi.


Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima berita mengenai seorang warga Itali yang kehilangan pasport dan didapati menaiki penerbangan itu walaupun beliau kini selamat berada di Bangkok, Thailand.

"Kami belum dapat sahkan laporan itu malah, sedang memeriksa laporan itu dengan kedutaan berkaitan untuk pengesahan lanjut.

"Laporan itu perlu disahkan terlebih dahulu," katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya belum memohon bantuan dari Thailand dan Indonesia untuk kerjasama operasi mencari dan menyelamat.

Aziz berkata, operasi tetap berjalan seperti biasa biarpun pada waktu malam menggunakan aset udara dan laut.

Menurutnya, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai sebarang penemuan terkini.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Kritikan Seorang Engineer Bertauliah